Kembara Jiwa Seorang Lelaki

Kembara Jiwa Seorang Lelaki
Saya dan Kenangan

Saturday, January 14, 2012

Saya dan KeSaS Part 1

Saya dan KeSaS Part 1

Entah mengapa tiba-tiba sahaja saya ada kemahuan membuat ‘entry’ seperti ini. Setelah agak malas nak mengemaskini blog yang sudah bersawang, saya melihat album lama KeSaS dalam external hardisk. Saya jenguk, saya terimbau kembali kisah 3 tahun yang lalu. Bagaimana saya memulakan jejak yang tempang ke dalam KeSaS dan segala kenangan yang tersingkap di balik tabir.


Saya selalu diajukan soalan yang berbisa. Apa istimewa KeSaS di mata saya?. Saya lebih suka berdiam diri tanpa bicara. Bukan apa. Bercakap lebih senang daripada bertindak bukan?.

Dulu masa awal pembabitan saya dalam KeSaS, bukan sedikit yang memperkecilkan usaha kami. Ada yang mencemuh, tak kurang juga yang mencebik dari jauh. Saya yang masa itu masih berjinak-jinak buat main tak endah sahaja.

“ Pergi blahlah KeSaS! Perasan bagus!”

“ KeSaS sampah!”

Itulah antara suara awal-awal yang saya dengar di telinga saya. Namun suara-suara ‘gatal’ itu nampaknya gagal mematahkan semangat saya.

Tarikh 22 Februari 2009 akan saya ingat sampai bila-bila. Kerana tarikh itu saya berkhidmat buat kali pertama untuk KeSaS. Mengajar tuisyen secara sukarela di SK Sabak.



Gambar masa mula-mula mengajar. Abang Jimi yang membawa kami ke sana. Mengajar dan terus mengajar.

Hahahaha. Saya tergelak kerana saya pernah memancitkan tayar motor Yamaha Legenda Abang Jimi bersama Faiz Shahidin betul-betul di hadapan KTD. Dahlah tiubless. Ini gara-gara mahu berkejar ke SK Sabak nak mengajar. Kertas soalan pula semua ada dengan kami. Tuisyen jadi tergendala sekejap. Namun, kenangan ini manis. Teramat manis.


Dan saya masih tergelak-gelak keseorangan dalam bilik. Apabila mengingat kembali kenangan mengajar. Budak SK Sabak sangat baik. Ada yang masih setia berhubung dengan saya sampai sekarang walaupun SK Sabak bukan menjadi tempat tuisyen KeSaS sekarang. Syamira. Budak comel yang suka buat saya tersenyum.

Saya mula mengenali dia ketika Abang Jimi meminta saya untuk mengajar dia mendeklamasi sajak dalam Deklamasi Sajak Anti Dadah Peringkat Daerah. Saya yang masih mentah perturunkan ilmu sikit-sikit. Ngeh-ngeh.

Alhamdulilah. Dia berjaya dapat tempat ketiga walaupun saya sempat mengajar dia dalam masa 2 hari sahaja. Sempat berkenalan dengan ibunya yang datang dari Sumatera Barat. Minum-minum air sambil sembang-sembang kosong di waktu petang.

Namun, ayah Shamira meninggalkan Shamira pada usia 11 tahun. Anak sulung. Masih belum mengerti apa-apa. Ada lagi 2 adik lelaki dibawahnya. Saya sempat pergi ke majlis tahlil arwah ayahnya. Berharap benar agar dia terus tabah.

Sampai sekarang, jika ada masa hujung mingu, saya gatal-gatal ke rumah Shamira bertanya khabar sambil membawa seplastik buah pear atau epal. Kadang-kadang, saya menyuakan buku-buku lama adik saya untuk latihan, kadang-kadang memberikan semangat. Itu yang terdaya yang saya mampu lakukan. Saya harap benar ia akan jadi bekalan akhirat buat saya kelak. Biarlah sedikit namun yang penting diukur keiklhlasan yang ada.



Program pertama KeSaS di IPG Kota Bharu. Kenangan mengendalikan anak-anak perairan Sabak yang pelbagai keletah dan petah.

Oh ya, saya teringat-ingat jugak ketika kami mula-mula keluar ke PCP(Program Cakna Pendidikan) di SK Nadak dan SK Sungai Lembing.

Abang Wan yang baik hati. Kak Yeen yang setia tersenyum. Gelak Syawal yang tak sudah-sudah. Diam Nur Atiqah. Gelagat Ainol Yaqin dan Izzul Imran. “Kentut’ Kak Syai yang istimewa. Semuanya bercampur menjadi satu. Kerana kami skuad “Skuad satu”.


Gambar terakhir sempat dirakam di SK Nadak. Terima kasih Cikgu Rokiah kerana sudi sambut kedatangan kami.

Balik daripada Pahang, terus ke IPG. Mengendalikan anak-anak pendalaman Kelantan pula. SK Biak dan Bahagia yang dihubungkan dengan bot serta Toyota Hilux.
Ketika itulah, saya mengenal hati budi bekas Presiden kita, Abang Nazrin Faiz, mendalami makna jiwa En Wan Ghazali yang tidak pernah berhenti memberikan nasihat serta tunjuk ajar.


Kenangan membawa adik-adik SK Bahagia dan SK Biak ke Lapangan Terbang Pengkalan Chepa.

Projek pertama yang saya kendalikan?

Hahaha. Ketika saya masih PPISMP Semester 3, saya masih mentah. Tidak tahu apa-apa. Namun seluruh skuad 1 menanam kepercayaan kepada saya untuk mencari sebuah sekolah bagi PCP dalaman.

SK Pulau Beluru. Saya gatal-gatal menunggang motor ke sana bersama Syawal Mohd dalam kelebatan hujan.

Namun alhamdulilah, program di sana berjaya. Semua berkerja keras memberikan yang terbaik.

Dan kerana PCP inilah, saya masih meneruskan hubungan baik dengan orang-orang Pulau Beluru. Orang di sana baik hati dan kaya budi bahasa. Menaiki bot merentasi Sungai Kelantan bagaikan mengimbau memori lama.




Menaiki bot ke Pulau Beluru bersama Kak Yeen. Siapa sangka, gara-gara PCP dalaman inilah membawa lebih banyak ‘projek’ di sana. Sayalah juga yang setia menjadi ‘orang tengah’.

Program Titian Bakti JPP pertama kali diadakan di sini. Program Keluarga angkat.Saya dilantik jadi S/U Projek. April 2010. Pertama kali buat, saya tidak nafikan terselit juga caca marba di mana-mana. Namun, sekurangnya saya tidak peranh takut untuk mencuba. Walaupun dengan kekangan bajet serta masa, kami berjaya melakukan yang terbaik dan terdaya. Tidur berlantaikan kayu?. Hahaha. Kenangan manis pernah menjadi Exco JPP di bawah pimpinan Abang Huzaimi. Dapat merasa ada keluarga angkat yang sangat mesra di sana. Sampai sekarang juga saya cuba curi masa berkunjung ke sana bertanya khabar berita.

BIG Fasa 3. Mac 2011. Gara-gara rakan sekelas semua gatal-gatal nak menaiki bot, saya bawalah mereka semua ke sana. Menjalankan program motivasi untuk anak-anak Pulau Beluru.

................................................

KeSaS sekarang sudah 3 tahun. Dah saya gatal-gatal bertanya kepada diri sendiri?.

“ Apa yang telah aku lakukan demi KeSaS sepanjang 3 tahun itu”.

Saya membelek diari-diari lama. Menjenguk planner yang ada. Semuanya terkumpul hikayat-hikayat kisah saya dari KeSaS. Hampir berpuluh-puluh sekolah saya pergi, mengendalikan pelbagai jenis LDK, menangkap ribuan gambar-gambar, membuat puluhan video program dan pelbagai lagi. Rupanya, dalam diam KeSaS telah ‘BINA DIRI dan BANTU RAKAN” dalam diri saya tanpa saya sedari. Begitu banyak saya pelajari, pelbagai cabaran saya tempuhi, dan kadang-kadang mengharung rintangan penuh berduri.
Rupanya saya tidak sedar. Saya sudah ada jawapan untuk soalan yang pernah diajukan kepada saya.

“ KeSaS memang bukan apa-apa bagi saya. Namun, KeSaS adalah segalanya bagi bagi hidup saya!”

Selamat Ulang tahun KeSaS! Teruskan berusaha! Jangan toleh!


( Insyallah dari semasa ke semasa saya akan mengemaskini kisah Saya dan Kenangan. Doakan saya tidak 'keputusan cerita'.)

No comments: